IKAN DILAUT, ASAM DIDARAT... DALAM KUALI, BIKIN MUFAKAT..

Thursday, May 30, 2013

Si Pena Tanpa Suara





Assalammualaikum.

Ingin aku cebiskan rasa.
Ia takkan mungkin datang dengan semena.
Walau diredah jalan, hakikat sudah di bina.
Kehidupan sudah di laluinya.

Fahami kenyataan bahawa semua itu tiada makna.
Goresan pertama adalah memanjangkan jangka.
Kedua adalah lorekkan berbisa.
Dan ketiga tidakkan punya harapan kata.

Terlihat mesra sapaan diberikan pada hujahnya.
Noktah bukan kamu tapi dia.
Tidak ada satu tanda benci dengan arifnya.
Kerna cinta berputik bila kau dekati kalam katanya.






Akui tidak bisa bersuara.
Sekat dalam nafas, tulis dalam surat.
Lukis dalam kertas.
Bererti kita sudah bebas.

Tidak dituntut sesuatu yang dijanji.
Tidak perlu kotakan lagi.
Tidak perlu pegang panji-panji.
Sudah teruskan usaha untuk dinikmati.

Sekeras batu jalanan.
Pastilah intan jadi pujaan.
Sekecil kuman.
Nyatalah berlian akan kau telan.

Tidak sangka pada si pencerita sudah bisu.
Kau lihat saja pasti kau sudah tahu.
Bila masanya perlu.
Siapa pasti akan didahulu.
Gerangan si ayu pasti dirindu.

Kucarkan ego.
Serabutkan rambutmu.
Diam sehingga kau mahu.
Sebab kita sama tahu semua itu tidak perlu.
Hidup dalam belenggu.
Kini keluar mencari sisip baru.
Agar semuanya harum terbau.
Tersedar semua terlihat dan pasti kau malu.


Kembara hingga ke sana.
Si pena tanpa suara.






Wednesday, May 29, 2013

Dia Ustaz, Aku Wanita Biasa # (Episod 2)

Bismillahirahmannirrahim.. Aku akan menyambung cerita semalam..
Masih ingat lagi? bagi yang belum membaca episod 1, bolehlah klik SINI.



  (Gambar sekadar Perhiasan. Aku suka lihat wajahnya yang tenang)



** sambungan **


Suatu hari dia menelifon aku dan bertanyakan tentang istikarah kami.

"Salam awak, saya mahu bertanyakan, bagaimana istikarah awak?" Tanyanya.

"Masih belum bertemu jawapan." Balasku.

"Tidak mengapalah, kita cuba lagi. Ada jodoh insyaAllah." Balasnya.

"Awak? bagaimana dengan awak?" Tanyaku.

"Masih bermimpi tentang wanita yang sama, namun tidak menampakkan wajahnya." Katanya.


Kami menamatkan perbualan selepas bertanyakan khabar masing-masing.


Ibuku selalu bertanya tentang aku, bila aku mahu melangsungkan perkahwinan. Ekoran aku bukanlah anak kecil lagi yang perlu di sisi keluarga. Aku masih tetap sama, berdiam tidak membuka bicara. Aku tidak mahu menceritakan akan apa sahaja yang ibu dan ayahku beritahu kepada ku kepadanya. Aku tidak mahu mengguris dan membuatkan dia semakin tertekan kerana dia harus menamatkan tesis dan pengajian akhirnya. Aku mahu dia berjaya kerana dia sudah mengambil masa yang terlalu lama. Kesibukkan aku kepada kerjaya dan tuntutan kepada keluarga membuatkan aku alpa sedikit kepadanya. Bagi aku selagi belum bergelar suami maka aku takkan meletakkan cinta dan harapan yang terlalu tinggi.

Pernah juga dia menghubungiku dan bertanyakan khabar melalui pesanan ringkas kepada aku. Namun aku tidak mahu membalas. Aku mahu melunaskan semua urusanku dan memberikan dia ruang. Adakalanya aku berkecil hati kerana dia terlalu mahu mengikuti perkembangan politik semasa, namun bagi aku itu adalah sesuatu yang biasa, cuma bukan aku untuk mengagung-agungkan politik dunia kerana, bagi aku semua politik sama. Mengapa harus mengagungkan parti, mengapa tidak memilih calon? Apa yang aku lihat padanya adalah dia seorang yang mengikuti parti bukan kepada calon yang bertanding. Sekali lagi, aku diam tidak menyuara.


Habis tentang politik semasa. Aku tidak marah kepadanya kerana aku tahu dia seorang pemimpin yang berbakat besar. Namanya sering kali dijulang, sehinggakan setiap insan di Universiti pasti mengenalinya. Namanya tidak pernah lekang dari bibir karyawan seni yang bergiat di kampus. Tidak lupus juga tentang peristiwa yang berlaku kepada dirinya. Kini dia mula mencatatkan nama dipersada dunia. Dia sudah mula menampangkan muka dan nama di surat khabar. Aku redha, itu jalan yang dia pilih. Bagiku dakwah perlu ada pemimpin. Aku tetap berbangga dengan dia. Walau aku tidak ucap tahniah, tapi doaku sentiasa dengannya.

(Dia dalam cerita ini aku gambarkan yang dalam gambar ini. hahaha)


Aku seorang yang biasa-biasa, dia pernah menyatakan bahawa ingin membawa aku berjumpa dengan ibunya, tetapi aku sangat berasa kerdil untuk bertemu dengan keluarganya kerana aku bukanlah sesiapa. Adiknya seorang bakal Doktor yang terpelajar, ada juga yang belajar di Jordan dan sebagainya. Manakala latar belakang keluarga aku hanyalah biasa-biasa.


Saban hari ada sahaja cerita yang aku lihat tentang dia. Meski aku diam tidak bermakna aku menutup mata. Aku lihat dia mempunyai ramai peminatnya yang tersendiri, namun aku sentiasa cuba bersikap husnozon terhadapnya. Bagi aku dia sangat matang dan baik orangnya.


Keluarga aku tidak henti bercerita tentang calon-calon yang cuba merisik aku. Aku hanya tersenyum dan menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju. Ada juga datangnya dari mak cik yang berkenan terhadap aku, entah apa yang aku lakukan sehingga mereka senang, aku sendiri tidak tahu. Namun semuanya aku tolak dengan penuh budi bahasa, supaya mereka tidak berkecil hati. Aku rasa jika dia boleh menunggu dan setia mengapa tidak aku?


Seperti biasa dia akan meminta izin sebelum menelifon aku kerana bimbang akan menganggu. Dia faham benar sewaktu aku bekerja dia tidak akan menganggu aku kerana suara aku yang keras mungkin akan memberikan dia faham tentang aku tidak mahu diganggu sewaktu sesi kerja ku.

Malam itu dia hubungi aku dan bertanya sesuatu.


"Apa yang awak rasa tentang saya? Apa perasaan awak kepada saya?" Bunyinya sedikit mendesak fikiran aku untuk berfikir.

"Kenapa tanya?" seperti biasa aku akan memainkan soalan semula.

"Tiada apa, cuma.." Perkataan itu terhenti di situ.


Talian terputus selepas beberapa ketika kami berborak. Keesokkannya juga dia bertanyakan hal yang sama. Aku akui bahawasanya aku sedikit tertekan, kerana aku tidak mahu mengolah panjang tentang cinta, hati dan perasaan.


Aku terlena cepat malam itu dan tersedar sekitar jam 2 pagi. Aku lantas capai telifon aku apabila melihat ada panggilan tidak berjawab. Seperti biasa aku menghantar pesanan "Maaf saya sudah terlena." 


Sesuatu yang aku tidak jangka begitu bersungguh dia untuk berbual dengan ku lalu menghubungi aku semula dan aku tidak mahu mengangkat kerana aku yakin dan pasti suara aku ketika itu bukanlah seperti suara aku sewaktu siang dan sedang normal untuk berbicara. Lalu aku biarkan sahaja dan aku lelapkan mata semula.


Setelah berfikir panjang sepertinya dia mendesak untuk aku beritahukan tentang perasaan dan rasa hati aku untuk dia. Aku pun menulis sesuatu untuknya.


"Sekarang ini apa yang awak rasa? Kalau payah, rasa berat. Tak perlulah teruskan, kalau dengar nama saya pun awak dah serabut. carilah orang lain."
Pendek nyataku.

Dia membalas. "Tak adalah serabut, awak ni ke situ pulak, saya akan teruskan ikhtiar saya.. buat masa ini saya akan undur diri dulu awak. Mungkin ada kekurangan amalan saya dengan Allah..Saya minta maaf kalau menyusahkan awak selama ini.. Andai ada rezeki antara kita. InsyaAllah. Maafkan saya awak."


Aku membaca, dan tidak semena air mata ini gugur setitis dua. Ya aku mula sedar bahawa aku bukan bidadari, aku bukan Ustazah. Dia seorang Ustaz aku pula hanya wanita biasa. Tidak layak untuk berada di sisinya.

Keesokan harinya aku membalas pendek dengan pertanyaan. "Apa maksud undur diri awak?"

Lama menunggu kemudiannya dia membalas semula. "Saya undur diri sekejap, saya mungkin tambah sem lagi, tesis saya ada masalah. nanti malam saya telifon awak.ada benda tak selesai untuk diceritakan semalam." pintanya.


Aku diam membaca pesanan tersebut. Tersengih dalam hati, apa kaitan dengan tesis.  Aku berasa sedikit terasa dengan pesanan dia dan aku rasa permasalahan yang dia alami, dia tidak seharusnya timbulkan dalam waktu-waktu begini. Aku bukan bercerita tentang sem tundanya, aku cuma mahu tahu apa yang dia maksudkan dengan pengunduran diri. Mungkin kali ini aku sedikit pendiam namun, aku punya maksud mendalam dalam setiap pertanyaan. Pada pesanan pertama dia mahu undur diri. Kini apabila dia ditanya semula dia beritahu mahu undur diri seketika. Aku kira belum jelas hujahnya. Belum puas jawapannya buat aku. Aku wanita yang penuh rasa ingin tahu apabila dalam situasi-situasi tertentu. Aku rasa aku tidak pernah menganggu masa kerjanya dan aku sangat profesional untuk tidak menganggu hari-harinya dengan pesanan-pesanan ringkas. Malahan aku hanya berdiam. Timbul persoalan, akukah punca kepada pemasalahannya?


 (Perkataan aku dalam cerita ini di gambarkan kepada gadis comel dalam gambar ini. haha, tak ada wajah sedih dia. Ini sahaja dapat disajikan.)


Malam itu aku menghantar pesanan kepadanya. " Pukul berapa mahu telifon?"

Dia membalas dia punya acara di luar dan bertanya pukul berapa aku bersedia?

Aku pelik dan diam lantas aku membalas. "Sepatutnya awak yang menetapkan masa. Saya ada sahaja dirumah. Jangan telifon saya lewat-lewat."


Seraya itu dia terus menghubungi aku. Kemudiannya aku dapat rasakan kegugupan dia untuk memulakan bicara dengan aku dan sukar untuk menceritakan kepada aku. Aku sedikit tidak selesa akan itu. Bagi aku perkara harus dijelaskan, tidak perlu lagi berkias-kias. Melihatkan dia yang seumpama itu, masih menyatakan dalil dan analogi, aku mula bertindak tegas.


"Saya dengar, awak cakap sahaja. saya masih dengar. Tak perlu berkias, awak ada majlis dan awak keluar dari majlis, lebih baik terus kepada apa yang mahu disampaikan." Tegasku.


Dia terus senyap dan menarik nafas. Kemudiannya dia terus bertanyakan.


"Apa yang awak rasa terhadap saya?" Katanya perlahan.

Sekali lagi dia bertanyakan soalan yang sama. Aku tidak menjawab lantas aku berkata.

"Saya tidak mahu ulas apa-apa." jawab aku selamba.

Dia meneruskan kata. "Adakah awak sudi menerima saya?" Tanyanya.


Aku terus menjawab. "Soalan apakah ini? mengapa awak rasa saya perlu jawab? saya tidak mahu jawab dan saya tak akan jawab. Seharusnya soalan ini awak harus tanya sebelum awak buat keputusan untuk mengundur diri dan awak tidak perlu bertanya kerana awak harus tahu jawapannya."


Dia agak delima dan dia berkata mahu mengundur diri seketika sahaja. Lama dia berdiam. aku dapat menangkap ada nada hiba dan mungkin airmatanya sudah jatuh namun  dia menahan. Bagi aku sudah tiada gunanya. Aku terima akan keputusannya dan aku sentiasa bersangka baik terhadapnya.

Terakhir ungkapannya.


"Awak orang yang pertama dan masih ada dalam hati saya." Jelasnya.

"Saya bukan yang pertama. Awak tahu itu." Jawab aku.

Dia terus berkata. "Benar, tapi bagi saya awak masih yang pertama dan saya tak tahu nak beritahu apa."

Aku terus berkata. "Ini keputusan awak dan saya terima. Terima kasih atas segalanya. Saya hargai dan bersyukur."


Dia berkata pada aku, pasti ada insan yang lebih baik buat aku. Malam itu bertemankan bintang aku duduk di luar jendela. Melihat awan. Gelap betul malam itu. 








Aku yakin kepada Illahi untuk jalan ini. Aku pinta kepadanya melalui pesanan bertulis. Semoga dia menjaa diri, halalkan segalanya dan semoga sahaja dia bertemu yang lebih baik dari aku. Dia membalas, dia halalkan serta anggaplah semua pemberiannya atas ingatan seorang abang kepada adiknya.


Keesokan paginya aku beranikan diri melihat mukabukunya dan aku lihat masih ada sahaja wanita yang suka  dengan status-statusnya sehingga menampal di dinding mereka. Aku diam bersahaja. Tidak semena nama seseorang menarik perhatian aku. Lantas aku beralih kepada seseorang itu. Aku lihat banyak benar statusnya juga yang digemari oleh ustaz. Hampir kesemua status itu diberikan komen oleh ustaz. Hampir kesemua status dia di gemari oleh ustaz, kerana nama ustaz terpampang pada semua statusnya. Maka aku lihat perempuan itu juga jauh lebih baik daripada aku. Akhlaknya. Aku doakan semoga sahaja dia berbahagia.


Dan sejak hari itu aku tidak lagi melihat laman dia dan aku sentiasa memanjatkan doa kepadanya. Air mata ini aku sapu kerana aku yakin pasti dia akan bahagia, dan aku turut bahagia. Allah!


Kini aku berbahagia bersama keluarga aku yang tercinta. Aku meneruskan pengajian aku keperingkat yang lebih tinggi untuk menyambung impian dan cita-cita aku yang sudah tertunggak lama tidak dibaiki.



Aku mahu menjadi seorang serikandi hebat. Berjalan penuh gaya. Menarik nafas lega. Kini aku masih tenang sentiasa. Alhamdulillah rezeki dari Nya, aku masih bernafas lega.






"Oppah.. jum makan." Pelawa dan sapaan dari cucuku yang ayu. Aku tersedar. Kini usia aku sudah ke 80 tahun. sudah berpuluh tahun peristiwa itu terjadi. Tersenyum dengan diri sendiri. Melangkah dipimpin oleh gadis yang baik hati. Doa aku semoga sahaja keluarga ini diberkati.



-Tamat-



#Semua watak yang ditulis dan cerita ini adalah rekaan semata-mata, lahir dari idea yang datang secara tiba-tiba. Tiada kena mengena antara yang masih hidup ataupun yang telah pergi. Sekiranya ada yang menguris. Maafkan kerana aku hanyalah wanita biasa.

Tuesday, May 28, 2013

Dia Ustaz, Aku Wanita Biasa # (Episod 1)

Assalammualaikum.



Selamat Membaca kisah pendek yang tidak sengaja terlintas difikiran. Idea yang keluar bagai mencurah tatkala menaip.

Bermula dengan Bismillahirahmannirrahim.


Aku mula mengenal Ustaz pada satu minit mesyuarat temasya kesukanan yang dianjurkan oleh pihak Universiti kami. Kami berganding bahu dalam menyiapkan tugasan yang dipikul dan dilunaskan. Setelah setahun temasya itu berlalu. Kami hanya terserempak kurang dari tiga kali dan tidak pernah berkata apa-apa apatah lagi atas urusan peribadi.


Suatu hari sedang aku sibuk menyiapkan assignment untuk dihantar lewat jam esoknya, tiba-tiba seseorang telah masuk ke dalam peti pesanan di mukabuku aku. Ringkas tulisannya.

"Assalammualaikum. Cik adik, boleh mngorat?"

Aku membalas biasa-biasa.
Kami jarang bercakap dan dia jarang mengirim pesanan pada peti pesanan aku, namun apa yang aku perhatikan adalah, setiap kali dia memulakan bicara antara aku dan dia. Dia akan menulis sesuatu yang sama.

"Assalammualaikum. Cik adik, boleh mngorat?"





Aku bertanya kepadanya akan sesuatu.

"Tidak punya modal lain kah untuk memulakan bicara?"

Dia membalas pendek.

"Selalu sangatkah perkataan ini diungkapkan? maaf."

Aku tersenyum. Sangka ku mahu bergurau. Setiap minggu mungkin hanya ada sekali dua sahaja mesej yang dihantar olehnya dan kami hanya berbual kurang dari 5 minit untuk membalas dan berbahas.

Pada suatu hari setelah dua bulan lama dia tidak memberikan pesanan. Dia muncul semula dan kali ini ada sesuatu yang cuba disampaikannya.

"Saya ada sesuatu ingin sampaikan kepada awak. tapi nantilah dahulu."

Aku membalas.

"Apakah itu? untuk bercerita aku sedia mendengar. Adakah berkenaan soal hati?"

Dia membalas.

"Kenapa katakan begitu?"

Aku terus menaip.

"Kerana lelaki sukar untuk berkata tentang soal hati dan akan malu untuk mengungkapkan tentang itu. Jika punya masalah dengan pasangan. boleh percayakan saya untuk diluah."


Dia menaip.

"Err.. masih belum berpunya. Saya cuma mahu beritahu. Saya sukakan awak. Saya tidak tahu mengapa dan kenapa perasaan ini Allah beri. Saya mahu cukup sekadar awak tahu. Saya tidak minta jawapan sekarang. Sekiranya awak sudah bersedia. Saya ingin melamar, mungkin Akhir pengajian saya akan bertunang dan selepas habis bergraduasi dan kerja saya mahu menjadikan awak isteri saya."

Aku terus terdiam. Mana mungkin orang yang aku tidak berhubungan selalu secara tiba-tiba berkata sedemikian. Aku pula hanya mengaggap dia sebagai teman biasa dan cuma mungkin sebagai seorang abang kepada adiknya.

"Tapi kenapa saya?"

Perbualan kami tamat di situ.






Selang hampir tiga tahun perkara itu terjadi dan aku sudah pun bergraduasi, sementara dia masih menyambung dan hampir menamatkan sem sisa terakhirnya disitu. Dia menelifon aku. Sebenarnya dia meminta nombor telifon ku dari seorang kenalan rapat aku, ekoran kerana aku tidak membuka laman mukabuku ku.

"Assalammualaikum awak. Masih ingat saya?" Sapaan dari dia.

"Waalaikumsalam jawabku. Mana dapat nombor saya?" Soalku.

"Dari seorang rakan awak. Maaf jika menggangu. Ada sesuatu ingin saya tanyakan."
Nyata darinya.

"Apa?" Aku seperti sudah menjangkakan sesuatu.

"Saya mahukan jawapan, tetapi saya tidak memaksa. Untuk awak tahu saya masih dengan soalan yang sama. Menunggu jawapan dan keputusan yang sama." Ujarnya bersahaja.

"Kenapa tidak berputus asa setelah tiga tahun menunggu?" Jawabku selamba.

"Kerana Allah sudah menyatakan itu. Saya tidak berharap tinggi. tetapi awak yang pertama." Jawabnya.

"Berikan saya sedikit masa" Kataku.

Talian diputuskan selepas itu.





Setelah beberapa bulan memikirkannya. Aku menghubunginya semula. Kali ini tegas denga jawapanku untuknya. Meski aku masih binggung. Mengapa aku? Dia sudah tahu akan aku. Cara pergaulan ku. Cara pemakaianku. Bercelana jeans, berbaju kemeja, berhijab selendang. Bukan seorang wanita yang memakai jubah, memakai tudung litup menutup dada, memendang ke bawah apabila berjalan. Tetapi baginya itu semua dia tidak kisah.

Aku pernah terdiam dalam soalan aku sendiri kepadanya.

"Saya ini degil, bolehkah awak bertahan? Saya ini jahat, bukan sesempurna mana, bukan berhijab labuh, keluarga tidak mempunyai kedudukan dan tidak berharta, tidak pula berpelajaran. kakak bukan seorang yang memakai tudung, abang pula bukan seorang yang ulama, ayah pekerja kilang, mak hanya seorang yang suka berleter. mampukah awak bertahan?" soalku lantang.

Namun dia menjawab.

"Sebelum saya meneruskan kata-kata saya. dan sebelum saya menjawab semua soalan awak. bolehkah saya bertanyakan sesuatu? Mahukah awak jika ada yang membimbing awak?" Soalnya biasa dan kelembutan.


Aku terpaku dan terdiam. selepas itu lama kami tidak berbicara.

Aku mula mencarinya kembali dan berkata.

Aku tidak tahu siapa jodohku, untuk perasaan itu aku sudah mula merasakan sesuatu. Allah mempertemukan aku dengan lelaki sesabar ini. Aku meletakkan syarat. yang aku tidak mahu mengadakan kenduri besar-besaran. aku tidak mahu keluarganya mengenali aku sebelum merisik aku. begitu juga keluarga ku mengenalnya sebelum dia membawa rombongan. Aku tidak suka lelaki berpolitik dan aku hanya mahu suamiku menyintaiku bukan mempoligamikan aku. Tegasku.

Dan dia seumpama menyetujuinya.

Dia banyak membantuku dalam urusan kerja dan kehidupanku. hari demi hari aku mula menelaah sesuatu dan aku tahu bahawa aku dan dirinya sudah mula keperingkat terbesar dalam hidupku dan dia.

Menurut syarak kami sudah bertunang, tetapi menurut adat kami masih belum menjadi tunangan.

aku cuba menjaga adabku. Dia menghadiahkan aku sebuah telekung unggu, warna kesukaan aku kepada seorang kenalan aku. Dia bimbang aku tidak mahu menerima.

Dia memberitahu aku supaya melakukan solat sunat istikarah dan juga berpuasa selama seminggu. dia juga akan berbuat demikian. Mungkin kerana dia melihat aku sangat selamba dan tidak begitu menunjukkan sebarang komitmen. Bagus juga untuk mengejar cinta dunia lebih baik kejarkan cinta Illahi. Aku sedar dia mempunyai ramai peminat dan dia mempunyai personaliti yang luar biasa sehinggakan semua dari mereka menyayanginya dan senang bergaul dengannya juga untuk berbual dengannya. Dia boleh dikatakan mempunyai pengikutnya yang tersendiri.



Sebelum ini dia sudah membuat istikarah dan dia berkata dia hanya melihat dalam mimpinya seorang perempuan berpaling muka rambut panjang paras bahu, kurus badannya duduk disuatu bilik bersamanya, namun dia tidak melihat wajahnya.

Kami pun berpuasa selama seminggu dan membuat istikarah selama 7 malam.

Aku.

Dia.





#bersambung pada bahagian 2.

Soalan Yang Tiada Jawapan


Assalammualaikum.

Pagi ku tersedar dengan senyuman.
Aku yakin semalam aku tidak bermimpi.
Mendengarkan kalimat dua daripadanya.
Sekadar bersoal tentang sesuatu.

Tiada ungkapan indah mampu aku ungkapkan lewat gelap semalam.
Hanya penggelengan kepala tanda tiada jawapan.
Soalan itu tidak memungkinkan aku menjawap.
Ekoran kenyataan keras kelmarin.

Suram nadanya.
Bukan aku tega.
Tapi ia yang mula mencipta.
Terkadang tertanya, soalan apakah itu?

Senang untuk dijawap.
Susah untuk di ungkap.
Lalu aku pilih berdiam.
Menyetujui perungkapan kelmarin.





.....dan menjadikan ungkapan sedih darinya menjadi nyata.
.....kita perlu hormati keputusan dia, kerna dia juga mahukan yang terbaik dalam dirinya.
.....mungkin dia sudah kuat untuk memberi kenyataan itu.
.....lewat subuh aku terus berdoa agar semuanya tenang seperti biasa.




Resepi masakan kehidupan :

"Adakalanya kita perlu menyetujui dan menghormati keputusan seseorang tanpa berkata apa-apa. Ia bertujuan memberikan dia sedikit tekanan kemesraan untuk membenarkan dan menegakkan keputusan yang telah dilakukan oleh dirinya sendiri -SuaraTersekat 29.05.13 "


Muka Mirip = Jodoh


Assalammualaikum.

Pernah dengar tentang,

"Jodoh kita adalah orang yang mirip wajahnya dengan kita."

Beberapa minggu lepas ada kawan baik aku beritahu aku sesuatu dalam perbualan pendek kami.

Kawan: Weh, aku rasa aku yakin kita takkan berjodoh.
Aku : Ahahaha, sebab aku pun dah anggap ang kawan baik aku.
Kawan : Bukan. Sebab. ang penah dengar tak yang kalau orang muka depa sama tu ada jodoh. muka kita tak sama wei.
Aku : Penah juga dengar.


Hurm, betul juga, kalau tengok dalam filem melayu, yang cantik mesti kawin dengan hensem. Yang kurang kawin dengan yang kurang. Tapi soalan aku hari ini...

# kalau dalam dunia ini memang di takdirkan Allah ada pelanduk dua serupa seramai 7 orang. bagaimana pula tu ya?





Ulasan aku di MukaBuku,
Aku pernah lihat, seorang perempuan yang sangat-sangat cantik. cantik sangat. tapi jodohnya dengan seorang yang biasa-biasa sahaja.

Aku pernah lihat seorang lelaki yang sangat kacak, bergaya tapi berkahwin dengan seorang yang sangat jauh bezanya, selekeh, biasa.






Bagi aku, Allah Maha mengetahui segalanya. Mengapa Dia jadikan kita berbeza jantina? Mengapa Dia jadikan kita punya kelebihan dan kekurangan masing-masing?





#Asbabnya adalah kerana Dia mahukan kita saling melengkapi. top up mana yang kurang. tambah mana kelebihan dan berkongsi-kongsi pengetahuan dan kepakaran.


#Aku tak berapa percaya kalau dikatakan bahawasanya jodoh kita memiliki wajah yang mirip dengan kita. tapi siapa pun jodoh kita itu adalah ketentuan dari Dia. Dia yang maha mengetahui. dan sekiranya sama mungkin satu suratan.





Wallahualam.




Resepi masakan kehidupan :

"Di sunting memang menjadi idaman bagi setiap wanita, cepat atau lambat. Namun bersediakan kita? Tepuk dada. tanya IMAN -SuaraTersekat 28.05.13 "

Thursday, May 16, 2013

Kecewa Perlu Dirawat



Assalammualaikum dan Selamat Malam (sekarang masih petang sebenarnya)..
Malam ni angin sepoi-sepoi je, dah pun menunjukkan 1.39 am.
Jari aku dah penat menaip sesuatu, tapi malam ini aku masih mahu meneruskan penulisanku biarpun tiada siapa yang mahu membaca. *hembus nafas dengan keras*


Aku kadang sering kali lupa bahawa aku ada sekeping hati, yang mana harus aku jaga, aku semai. Biar ia tak rosak dan mati. (huh! sedih sahaja bunyinya.) Tidak ada siapa yang tidak pernah rasa kecewa. Jatuh bangun kita sebenarnya sudah ditakdirkan oleh yang Maha Esa. Jadi aku sebagai manusia kadang kala mengeluh juga, tapi bila aku berfikir panjang, lalu aku tanya dalam diri "untuk apa?".






Aku teruskan penulisan aku pada tahun 2013 dengan tajuk yang sama iaitu kekecewaan, namun dalam cerita yang sama. Sama nada. Perjalanan kita masih panjang (jika kita tidak mati pada hari ini atau esok hari), teruskan berjuang teruskan kehidupan melalui hari-hari meski rasa kosong atau sepi. Permergian seseorang dalam kehidupan tidak melambangkan kita juga harus pergi bersama dia. Kenapa aku kata macam ini? mungkin ada yang menganggap aku tidak faham akan kalian, tapi sebenarnya aku juga pernah merasakan detik dan perasaan seperti itu. Nasihat aku hanyalah satu, cuba dapatkan keredhaan Illahi. Dari kita asyik menangisi kesakitan hati, kita tahu doktor yang ada di dalam dunia tidak akan mampu merawati luka, yang ada hanyalah Allah, penyembuh segalanya. Maka, dapatkan Dia. Jika hari ini kita sakit, itu kerana izin dariNya, jika hari ini kita sihat maka itu juga izin dariNya. Jadi? Kalian faham bukan.


Perasaan sedih dan macam-macam lagi adalah sedikit ujian yang diturunkan oleh Dia untuk kita, sejauh mana peringatan kita kepada Dia, jauh mana cinta kita kepada Dia. Bila Dia berikan kita juga kesenangan dan kebahagian, Dia juga mahu lihat kita bagaimana. Seorang yang istiqamah dalam mengejar cintaNya? atau yang hanya datang bila pada masa-masanya.


Jadi? Faham bukan. Rawatlah kekecewaan dengan penawar yang benar-benar mujarab. Kita tahu cara dan penawarnya. Tidak perlu pergi jauh. Ia ada dekat dengan kita, dalam hati kita.



"Siapa mahu pergi sini? saya kira semua daripada kita. mudah-mudahan ya! Aamin."


Resepi masakan kehidupan :

"Pasti sakit apabila disakiti, tetapi lebih sakit di alam barzakh nanti. Jadi SEMAK DIRI DENGAN ILLAHI  -SuaraTersekat 17.05.13 "



#Post ini sepatutnya ditulis pada 20/6/2011, tapi lupa untuk dihabiskan karangannya dan hanya siap dikarang semula pada 17/05/2013 iaitu hari ini dengan pandangan pada hari ini. (kalau tak tengok draft, memang tak siap lah).

Ubah! Ini kalilah!



Assalammualaikum,
Sila lihat gambar di atas, untuk makluman semua page di muka buku telah di tukar dari "HargaSebuahCinta(Ceritekualisenduk.blogspot.com)" kepada "Penulisan Suara Tersekat". Ini  bagi bertujuan memudahkan tangan untuk menaip lalu tekan enter! pada papan kekunci.

Lagipun, aku lihat sudah banyak page "Harga Sebuah Cinta" di laman muka buku. Alang-alang nak buat perubahan dan penambahbaikan, apa kata terus UBAH! INIKALILAH! hehehe. Opss! sila abaikan, aku bukan seorang yang gemar berpolitik dan itu tiada kaitan pun. Apa yang aku maksudkan dengan ubah adalah mengubah judul penulisan aku yang bertajuk "Harga Sebuah Cinta", tajuk cerita masih dalam proses pemikiran. Hal ini kerana aku tidak mahu ada lagi persamaan pada tajuk-tajuk buku novel sedia ada di pasaran. Mestilah tak nak kan, sebab itu idea asal aku.

Jadi bagi yang masih belum LIKE PAGE aku, silalah berbuat demikian dengan mengklik sahaja link ini : https://www.facebook.com/pages/Penulisan-Suara-Tersekat/149762921741494?fref=ts

Baiklah tamat di sini, nanti dah siap selenggarakan tajuk dan sebagainya, aku akan update ya!
Jom layan lagu anak kecil yang bakatnya besar dari Indonesia. Aku suka lagu ini kerana bagi aku ini kisah hidup dia dan dia sangat ikhlas dengan apa yang dilakukan sehingga dia berjaya ubah hidup keluarga dia.

Korang patut baca lirik dia sampai habis, fahamkan ya.

Artis : TEGAR



Resepi masakan kehidupan :

"Insan yang berbakti kepada kedua orang tuanya bukanlah seorang yang sentiasa dalam kesempitan tetapi dia adalah orang yang sentiasa menemui jalan keluasan, di mana orang-orang ini bukan sahaja mendapatkan doa kedua orang tuanya yang tidak pernah putus, malahan mendapatkan rahmat Allah S.W.T yang sentiasa melebar luas baginya. BERBAKTILAH KEPADA KEDUA ORANG TUAMU. -SuaraTersekat 17.05.13 "

Permulaan selepas perhentian

Selamat tinggal muka lama...

Assalammualaikum!
Sudah bertahun tak update.
Setahun menyepi, pergi bertapa. So hari ini official aku akan mula menulis kembali. Penulisan biasa tapi insyaAllah akan ada sedikit yang berguna untuk kalian (skema?). Aku pun dah upgrade header baru aku supaya nampak konon-konon macam perempuan sikit. Dalam masa 10 minit je aku siapkan header tu, buat yang ringkas guna software paint je dekat PC aku ni.

....... Apa aku nak tulis sepanjang setahun menyepi ni? huh! banyak. tapi aku akan tulis secara berperingkat, episod demi episod. Bagi yang masih setia baca blog aku, alhamdulillah. jangan lupa follow untuk penulisan aku " Harga Sebuah Cinta ", sebab dalam masa terdekat ini juga aku akan mula mengarang kembali. InsyaAllah jika tak ada apa-apa halangan.

Blog ni pun belum sehabisnya lagi aku ubah, Peringkat demi peringkat aku akan ubah. Mana yang aku rasa aku akan re-post, aku akan buat supaya blog ini sentiasa fresh macam tuan punya blog. Perkembangan terbaru aku, ya! aku makin kembang. Sekian.





Resepi masakan kehidupan :

"Jika kita pernah jatuh, jangan biarkan kita tersungkur lama. Bangun seberapa cepat yang boleh. Tarik nafas dan biarkan rasa itu tenang seketika sebelum mulai kehidupan yang baru. Sentiasa upgrade diri jadi HEBAT dan BERFIKIRAN POSITIF. -SuaraTersekat 16.05.13"



Selamat Hari Cikgu

Assalammualaikum.

Hari ini bertarikh 16 Mei 2013,
Sudah lama masa berlalu,
Tinggalkan jejak kaki ku di kota itu,
Kota pendidik, Kota ilmuan.

Akui, ku rindu bertamu di ruang kota itu,
Setiap masa kenangan selalu dalam ingatanku,
Benar! waktu ada kita bersahaja,
Sudah tiada dan habis waktu kita mahu.

Kota itu mengingatkan aku pada kalimat CIKGU,
Seingat aku aku kosong waktu hari pertamaku,
dan pada hari terakhirku aku dibekalkan sesuatu,
Untuk mengembara dengan ilmu, sebar dan tebar pada anakku.

Kini,
Aku benar-benar rindu,
Akan semuanya satu persatu,
Sejak aku dibangku dan pergi berlalu,
Aku rindu sahabat, aku rindu ilmu dan aku rindu CIKGU.

Hargai setiap detik yang kita punya.
Meski kita tidak tahu ia sampai bila.
Kerna sehabisnya waktu itu tiba.
Kita akan kalam dalam kenangan terindah.
Abadikan sesuap ilmu yang telah dibaja.
Oleh cikgu yang mulia.


Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik!


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...