IKAN DILAUT, ASAM DIDARAT... DALAM KUALI, BIKIN MUFAKAT..

Wednesday, May 29, 2013

Dia Ustaz, Aku Wanita Biasa # (Episod 2)

Bismillahirahmannirrahim.. Aku akan menyambung cerita semalam..
Masih ingat lagi? bagi yang belum membaca episod 1, bolehlah klik SINI.



  (Gambar sekadar Perhiasan. Aku suka lihat wajahnya yang tenang)



** sambungan **


Suatu hari dia menelifon aku dan bertanyakan tentang istikarah kami.

"Salam awak, saya mahu bertanyakan, bagaimana istikarah awak?" Tanyanya.

"Masih belum bertemu jawapan." Balasku.

"Tidak mengapalah, kita cuba lagi. Ada jodoh insyaAllah." Balasnya.

"Awak? bagaimana dengan awak?" Tanyaku.

"Masih bermimpi tentang wanita yang sama, namun tidak menampakkan wajahnya." Katanya.


Kami menamatkan perbualan selepas bertanyakan khabar masing-masing.


Ibuku selalu bertanya tentang aku, bila aku mahu melangsungkan perkahwinan. Ekoran aku bukanlah anak kecil lagi yang perlu di sisi keluarga. Aku masih tetap sama, berdiam tidak membuka bicara. Aku tidak mahu menceritakan akan apa sahaja yang ibu dan ayahku beritahu kepada ku kepadanya. Aku tidak mahu mengguris dan membuatkan dia semakin tertekan kerana dia harus menamatkan tesis dan pengajian akhirnya. Aku mahu dia berjaya kerana dia sudah mengambil masa yang terlalu lama. Kesibukkan aku kepada kerjaya dan tuntutan kepada keluarga membuatkan aku alpa sedikit kepadanya. Bagi aku selagi belum bergelar suami maka aku takkan meletakkan cinta dan harapan yang terlalu tinggi.

Pernah juga dia menghubungiku dan bertanyakan khabar melalui pesanan ringkas kepada aku. Namun aku tidak mahu membalas. Aku mahu melunaskan semua urusanku dan memberikan dia ruang. Adakalanya aku berkecil hati kerana dia terlalu mahu mengikuti perkembangan politik semasa, namun bagi aku itu adalah sesuatu yang biasa, cuma bukan aku untuk mengagung-agungkan politik dunia kerana, bagi aku semua politik sama. Mengapa harus mengagungkan parti, mengapa tidak memilih calon? Apa yang aku lihat padanya adalah dia seorang yang mengikuti parti bukan kepada calon yang bertanding. Sekali lagi, aku diam tidak menyuara.


Habis tentang politik semasa. Aku tidak marah kepadanya kerana aku tahu dia seorang pemimpin yang berbakat besar. Namanya sering kali dijulang, sehinggakan setiap insan di Universiti pasti mengenalinya. Namanya tidak pernah lekang dari bibir karyawan seni yang bergiat di kampus. Tidak lupus juga tentang peristiwa yang berlaku kepada dirinya. Kini dia mula mencatatkan nama dipersada dunia. Dia sudah mula menampangkan muka dan nama di surat khabar. Aku redha, itu jalan yang dia pilih. Bagiku dakwah perlu ada pemimpin. Aku tetap berbangga dengan dia. Walau aku tidak ucap tahniah, tapi doaku sentiasa dengannya.

(Dia dalam cerita ini aku gambarkan yang dalam gambar ini. hahaha)


Aku seorang yang biasa-biasa, dia pernah menyatakan bahawa ingin membawa aku berjumpa dengan ibunya, tetapi aku sangat berasa kerdil untuk bertemu dengan keluarganya kerana aku bukanlah sesiapa. Adiknya seorang bakal Doktor yang terpelajar, ada juga yang belajar di Jordan dan sebagainya. Manakala latar belakang keluarga aku hanyalah biasa-biasa.


Saban hari ada sahaja cerita yang aku lihat tentang dia. Meski aku diam tidak bermakna aku menutup mata. Aku lihat dia mempunyai ramai peminatnya yang tersendiri, namun aku sentiasa cuba bersikap husnozon terhadapnya. Bagi aku dia sangat matang dan baik orangnya.


Keluarga aku tidak henti bercerita tentang calon-calon yang cuba merisik aku. Aku hanya tersenyum dan menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju. Ada juga datangnya dari mak cik yang berkenan terhadap aku, entah apa yang aku lakukan sehingga mereka senang, aku sendiri tidak tahu. Namun semuanya aku tolak dengan penuh budi bahasa, supaya mereka tidak berkecil hati. Aku rasa jika dia boleh menunggu dan setia mengapa tidak aku?


Seperti biasa dia akan meminta izin sebelum menelifon aku kerana bimbang akan menganggu. Dia faham benar sewaktu aku bekerja dia tidak akan menganggu aku kerana suara aku yang keras mungkin akan memberikan dia faham tentang aku tidak mahu diganggu sewaktu sesi kerja ku.

Malam itu dia hubungi aku dan bertanya sesuatu.


"Apa yang awak rasa tentang saya? Apa perasaan awak kepada saya?" Bunyinya sedikit mendesak fikiran aku untuk berfikir.

"Kenapa tanya?" seperti biasa aku akan memainkan soalan semula.

"Tiada apa, cuma.." Perkataan itu terhenti di situ.


Talian terputus selepas beberapa ketika kami berborak. Keesokkannya juga dia bertanyakan hal yang sama. Aku akui bahawasanya aku sedikit tertekan, kerana aku tidak mahu mengolah panjang tentang cinta, hati dan perasaan.


Aku terlena cepat malam itu dan tersedar sekitar jam 2 pagi. Aku lantas capai telifon aku apabila melihat ada panggilan tidak berjawab. Seperti biasa aku menghantar pesanan "Maaf saya sudah terlena." 


Sesuatu yang aku tidak jangka begitu bersungguh dia untuk berbual dengan ku lalu menghubungi aku semula dan aku tidak mahu mengangkat kerana aku yakin dan pasti suara aku ketika itu bukanlah seperti suara aku sewaktu siang dan sedang normal untuk berbicara. Lalu aku biarkan sahaja dan aku lelapkan mata semula.


Setelah berfikir panjang sepertinya dia mendesak untuk aku beritahukan tentang perasaan dan rasa hati aku untuk dia. Aku pun menulis sesuatu untuknya.


"Sekarang ini apa yang awak rasa? Kalau payah, rasa berat. Tak perlulah teruskan, kalau dengar nama saya pun awak dah serabut. carilah orang lain."
Pendek nyataku.

Dia membalas. "Tak adalah serabut, awak ni ke situ pulak, saya akan teruskan ikhtiar saya.. buat masa ini saya akan undur diri dulu awak. Mungkin ada kekurangan amalan saya dengan Allah..Saya minta maaf kalau menyusahkan awak selama ini.. Andai ada rezeki antara kita. InsyaAllah. Maafkan saya awak."


Aku membaca, dan tidak semena air mata ini gugur setitis dua. Ya aku mula sedar bahawa aku bukan bidadari, aku bukan Ustazah. Dia seorang Ustaz aku pula hanya wanita biasa. Tidak layak untuk berada di sisinya.

Keesokan harinya aku membalas pendek dengan pertanyaan. "Apa maksud undur diri awak?"

Lama menunggu kemudiannya dia membalas semula. "Saya undur diri sekejap, saya mungkin tambah sem lagi, tesis saya ada masalah. nanti malam saya telifon awak.ada benda tak selesai untuk diceritakan semalam." pintanya.


Aku diam membaca pesanan tersebut. Tersengih dalam hati, apa kaitan dengan tesis.  Aku berasa sedikit terasa dengan pesanan dia dan aku rasa permasalahan yang dia alami, dia tidak seharusnya timbulkan dalam waktu-waktu begini. Aku bukan bercerita tentang sem tundanya, aku cuma mahu tahu apa yang dia maksudkan dengan pengunduran diri. Mungkin kali ini aku sedikit pendiam namun, aku punya maksud mendalam dalam setiap pertanyaan. Pada pesanan pertama dia mahu undur diri. Kini apabila dia ditanya semula dia beritahu mahu undur diri seketika. Aku kira belum jelas hujahnya. Belum puas jawapannya buat aku. Aku wanita yang penuh rasa ingin tahu apabila dalam situasi-situasi tertentu. Aku rasa aku tidak pernah menganggu masa kerjanya dan aku sangat profesional untuk tidak menganggu hari-harinya dengan pesanan-pesanan ringkas. Malahan aku hanya berdiam. Timbul persoalan, akukah punca kepada pemasalahannya?


 (Perkataan aku dalam cerita ini di gambarkan kepada gadis comel dalam gambar ini. haha, tak ada wajah sedih dia. Ini sahaja dapat disajikan.)


Malam itu aku menghantar pesanan kepadanya. " Pukul berapa mahu telifon?"

Dia membalas dia punya acara di luar dan bertanya pukul berapa aku bersedia?

Aku pelik dan diam lantas aku membalas. "Sepatutnya awak yang menetapkan masa. Saya ada sahaja dirumah. Jangan telifon saya lewat-lewat."


Seraya itu dia terus menghubungi aku. Kemudiannya aku dapat rasakan kegugupan dia untuk memulakan bicara dengan aku dan sukar untuk menceritakan kepada aku. Aku sedikit tidak selesa akan itu. Bagi aku perkara harus dijelaskan, tidak perlu lagi berkias-kias. Melihatkan dia yang seumpama itu, masih menyatakan dalil dan analogi, aku mula bertindak tegas.


"Saya dengar, awak cakap sahaja. saya masih dengar. Tak perlu berkias, awak ada majlis dan awak keluar dari majlis, lebih baik terus kepada apa yang mahu disampaikan." Tegasku.


Dia terus senyap dan menarik nafas. Kemudiannya dia terus bertanyakan.


"Apa yang awak rasa terhadap saya?" Katanya perlahan.

Sekali lagi dia bertanyakan soalan yang sama. Aku tidak menjawab lantas aku berkata.

"Saya tidak mahu ulas apa-apa." jawab aku selamba.

Dia meneruskan kata. "Adakah awak sudi menerima saya?" Tanyanya.


Aku terus menjawab. "Soalan apakah ini? mengapa awak rasa saya perlu jawab? saya tidak mahu jawab dan saya tak akan jawab. Seharusnya soalan ini awak harus tanya sebelum awak buat keputusan untuk mengundur diri dan awak tidak perlu bertanya kerana awak harus tahu jawapannya."


Dia agak delima dan dia berkata mahu mengundur diri seketika sahaja. Lama dia berdiam. aku dapat menangkap ada nada hiba dan mungkin airmatanya sudah jatuh namun  dia menahan. Bagi aku sudah tiada gunanya. Aku terima akan keputusannya dan aku sentiasa bersangka baik terhadapnya.

Terakhir ungkapannya.


"Awak orang yang pertama dan masih ada dalam hati saya." Jelasnya.

"Saya bukan yang pertama. Awak tahu itu." Jawab aku.

Dia terus berkata. "Benar, tapi bagi saya awak masih yang pertama dan saya tak tahu nak beritahu apa."

Aku terus berkata. "Ini keputusan awak dan saya terima. Terima kasih atas segalanya. Saya hargai dan bersyukur."


Dia berkata pada aku, pasti ada insan yang lebih baik buat aku. Malam itu bertemankan bintang aku duduk di luar jendela. Melihat awan. Gelap betul malam itu. 








Aku yakin kepada Illahi untuk jalan ini. Aku pinta kepadanya melalui pesanan bertulis. Semoga dia menjaa diri, halalkan segalanya dan semoga sahaja dia bertemu yang lebih baik dari aku. Dia membalas, dia halalkan serta anggaplah semua pemberiannya atas ingatan seorang abang kepada adiknya.


Keesokan paginya aku beranikan diri melihat mukabukunya dan aku lihat masih ada sahaja wanita yang suka  dengan status-statusnya sehingga menampal di dinding mereka. Aku diam bersahaja. Tidak semena nama seseorang menarik perhatian aku. Lantas aku beralih kepada seseorang itu. Aku lihat banyak benar statusnya juga yang digemari oleh ustaz. Hampir kesemua status itu diberikan komen oleh ustaz. Hampir kesemua status dia di gemari oleh ustaz, kerana nama ustaz terpampang pada semua statusnya. Maka aku lihat perempuan itu juga jauh lebih baik daripada aku. Akhlaknya. Aku doakan semoga sahaja dia berbahagia.


Dan sejak hari itu aku tidak lagi melihat laman dia dan aku sentiasa memanjatkan doa kepadanya. Air mata ini aku sapu kerana aku yakin pasti dia akan bahagia, dan aku turut bahagia. Allah!


Kini aku berbahagia bersama keluarga aku yang tercinta. Aku meneruskan pengajian aku keperingkat yang lebih tinggi untuk menyambung impian dan cita-cita aku yang sudah tertunggak lama tidak dibaiki.



Aku mahu menjadi seorang serikandi hebat. Berjalan penuh gaya. Menarik nafas lega. Kini aku masih tenang sentiasa. Alhamdulillah rezeki dari Nya, aku masih bernafas lega.






"Oppah.. jum makan." Pelawa dan sapaan dari cucuku yang ayu. Aku tersedar. Kini usia aku sudah ke 80 tahun. sudah berpuluh tahun peristiwa itu terjadi. Tersenyum dengan diri sendiri. Melangkah dipimpin oleh gadis yang baik hati. Doa aku semoga sahaja keluarga ini diberkati.



-Tamat-



#Semua watak yang ditulis dan cerita ini adalah rekaan semata-mata, lahir dari idea yang datang secara tiba-tiba. Tiada kena mengena antara yang masih hidup ataupun yang telah pergi. Sekiranya ada yang menguris. Maafkan kerana aku hanyalah wanita biasa.

1 comment :

Anonymous said...

Assalam... so c 'Dia' jg kahwin dgn 'Ustaz' tu jg ke?? persoaln yg x tjawab... btw, pnulisan yg santai dn best, keep up the good work ☺ -Farah-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...